Mengapa harus ada perkataan DENGKI dalam diri kita??? Bila menjawab persoalan itu, memanglah kita kan manusia biasa yang penuh dengan dugaan dan cabaran daripada Syaitan yang tidak henti-henti ingin menghancurkan manusia sebagai khalifah Allah. Tetapi itu bukan alasannya untuk kita menurut segala perbuatan syaitan yang menghasut di dalam diri kita agar menanam sifat dengki-mendengki. Sebagai manusia biasalah kita harus belajar agar saling sayang-menyanyangi antara satu dengan yang lain.
Membincangkan tentang topik Dengki ini, terdapat pelbagai panorama yang terjadi kepada masyarakat kita sekarang ini. Tidak kiralah dia seorang ahli politik, seorang guru, seorang majikan atau staff, atau pun ramai lagilah. Apa yang dilihat sekarang ini terdapat banyak kecelaruan tentang konsep kerjasama antara satu dengan yang lain. Rentetan itu juga, masalah tersebut amat berkait rapat dengan toleransi dan kesatuan kepada setiap pihak maka timbullah sikap irihati dan hasad dengki kepada yang lain. Apakah punca utama sebenarnya mengapa timbul sikap sedemikian? Bila kita lihat terdapat sesuatu pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang dengan jujur dan pihak lain iri melihatnya. Ini adalah juga daripada sikap ketamakan yang melahirkan rasa dengki kepada pihak tersebut. Apa tidaknya, kejujuran pihak yang satu tidak ingin dilihat oleh pihak yang lain sebagai pekerjaan yang menguntungkan sedangkan pihak yang satu ini menganggap dia harus bekerja dengan Bayaran. Dengan kejujuran pihak yang satu ini, pihak yang mehukan keuntungan ini tidak dapat mengaut bayaran perkhidmatan yang lebih daripada orang awam. Sikap ini amat merugikan kepada masyarakat dan kerajaan sebenarnya.
Kita kembali kepada pengertian Hasad Dengki tersebut yang merujuk kepada sifat abnormal. Sifat ini juga adalah sebahagian daripada sifat dendam yang mengahasilkan sifat marah. Sikap dengki ini amat tidak menguntungkan kerana akan menyebabkan jiwa menderita secara zahir dan batin. Al-Ghazali ada mengatakan bahawa seseorang yang mempunyai sifat dengki selalunya tidak senang dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain dan mengimpikan kelebihan tersebut hilang daripada orang tersebut dan dalam masa yang sama berpindah kepada dirinya sendiri. (al-ghazali 2000, Jil.3:110). Selain itu Al-Ghazali juga mengemukakan beberapa factor pendorong lahirnya perasaan dengki dalam hati seseoran antaranya ialah:-
1) Permusuhan dan Kemarahan
2) Keinginan dipandang mulia dan merasa tidak senang jika ada orang lain mengatasinya.
3) Takabbur (bangga diri)
4) Ta’ajjub atau kagum kepada diri sendiri.
5) Takut tidak tercapai perkara yang diinginkan (khususnya dalam persaingan)
6) Suka menjadi pemimpin dan mencari kedudukan untuk dirinya.
Jika tidak kita mengawal sikap ini dalam kehidupan kita, ini akan menyebabkan kerosakan kesejahteraan masyarakat setempat. Dalam hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Abu Hurairah r.a berkata “aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda; “Akan ditimpa umatku penyakit masyarakat. Mereka bertanya “ Apakah penyakit masyarakat itu wahai Rasulullah s.a.w? Sabda Rasulullah s.a.w “Penyakit lupa nikmat, mengkufuri nikmat, suka memperbanyakkan harta, saling bersaing mengejar dunia, saling membenci serta saling behasad dengki sehingga melampaui batas.” (al-Hakim al-Nasyaburi, 1968, Jil.4:168).
Dengan hadith di atas, maka jelaslah bahawa tidak ada gunanya untuk kita menyimpan perasaan dengki itu kepada di dalam diri kita kerana sikapa dengki itu akan mendatangkan perkara yang tidak baik malahan akan membiarkan kita terus muflis di akhirat kelak. Muflis itu yang dimaksudkan mengurangkan segala amalan kebaikan kita.
Wallahu’alam.