Sebagai seorang Islam kita amat digesa supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan Illahi dan berusaha menyemai diri dengan sikap qanaah (rasa cukup) dalam erti kata yang lain bersyukur dengan apa yang ada. Bukannya apabila Allah kurniakan ujian kita berhenti bersyukur dan memberontak dengan ujian yang timbul. Bersyukurlah dengan nikmat yang tela dikurniakan oleh Allah Taala kepada makluknya. Alangkah nikmat-Nya itu tidak dapat dinilai kerana terlalu banyak. Nikmat yang diberikan itulah kita harus terima dengan rasa syukur. Firman Allah Taala dalam al-quran yang bermaksud.: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (surah An-Nahl 16:18)
Sifat bersyukur juga akan menambahkan keberkatan kepada nikmat yang dikurniakan dengan limpahan nikmat yang berlipat kali ganda dari Allah Taala. Sepeti dalam firman Allah yang bermaksud.: “Dan (ingatlah), tatkala Tuhanmu memaklumkan, jika kamu bersyukur atas (nikmat-Ku) akan Aku tambah lagi kepadamu dan jika kamu kufur (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-ku amatlah pedih.” (surah Ibrahim 14:7). Dalam ayat ini maka jelaslah bahawa ketenangan dan keberkatan itu lahir daripada rasa syukur seseorang atas segala nikmat yang dikurniakan kepadanya. Disamping itu, rasa syukur juga akan dimiliki oleh jiwa yang tenang dan bersih ceria selalu kerana sentiasa ingin mendekati kepada Tuhannya.
Terdapat 5 asas utama Syukur menurut Luqman Al-Hakim.:
1) Penyerahan diri serendah-rendahnya oleh yang bersyuku (hamba) kepada yang disyukuri (Allah Taala).
2) Cinta kasih kepada-Nya.
3) Pengakuan seorang hamba dengan nikmat-nikmat yang diberikan oleh-Nya.
4) Sentiasa memuji-muji kepada-Nya dengan nikmat yang diperolehinya itu.
5) Hamba tidak menggunakan setiap nikmat yang diberikan untuk mengerjakan sesuatu yang dibenci-Nya.
Bagaimana cara untuk bersyukur? Bersyukur bukanlah sekadar melafazkan “syukur”. Terdapat satu hadis syarif yang diriwayatkan oleh Imam al-baihaqi: “Menyebut nikmat Allah itu merupakan kesyukuran dan meninggalkan menyebutnya merupakan kekufuran. Sesiapa yang tidak mensyukuri yang sedikit tidak akan mensyukuri yang banyak dan sesiapa yang tidak mensyukuri manusia tidak akan mensyukuri Allah Taala” (Riwayat al-Baihaqi no.4419). Terdapat pelbagai cara untuk menunjukkan rasa syukur kita kepada Allah Taala. Terutamanya apabila kita berzikir Takbir, Tasbih & Tahmid. Dalam kalimah “Alhamdulillah” sudah memadai dengan pelbagai makna dalam melahirkan rasa kesyukuran secara mutlak.
Oleh itu, sebagai hamba Allah sepatutnya kita menjalankan tugas sebagai hamba kepada Tuhannya. Orang yang tidak bersyukur itu adalah orang yang amat rugi dan sentiasa rasa tidak cukup walaupun sudah terlalu banyak dikurniakan nikmat untuknya. Kita ibaratkan, jika seseorang memberikan kita hadiah sudah tentu kita akan berterima kasih kepada pemberi tersebut. Malahan, sayang itu bukannya tumpah kepada barang yang dihadiahkan kepada kita tetapi si pemberi hadiah itulah yang akan menerima kasih sayang tersebut.
Syukur itu amat indah,
Seindah lukisan alam,
Indah dipandang,
Namun sukar untuk digapai,
Alhamdulillah,
Segala puji bagi-Mu ya Allah.
Wallahu’alam…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan